Pertanian Juga Satu Ibadah

Didalam mengejar pembangunan dan kemajuan, bidang pertanian jangan lah terus dilupakan kerana ia merupakan sumber utama makanan negara. Kelemahan kita (empunya diri) adalah kerana malas, tidak berilmu dan terlalu cepat putus asa. Dengan harapan untuk memartabatkan lagi bidang ini, perkongsian yang bijak mengenai ilmu dan pengalaman serta sumber dalam bidang pertanian amat dialu-alukan supaya masyarakat pertanian menjadi lebih berilmu dan mendapat hasil yang lebih baik

Friday, December 17, 2010

Melentur Buluh Daripada Rebung

Salam Sejahtera…
Minggu lepas ada kesempatan menjenguk ke kebun sawit. Sementelahan cuti sekolah, anak dan anak  buah diajak bersama untuk sama – sama berkebun. Kelapa sawit telah ditanam sepenuhnya, tinggal lagi menanam pisang sementara sawit mengeluarkan hasil. Pembajaan yang pertama kali selepas tanam juga perlu dilakukan. Meracun dan merumpai juga perlu dilakukan. Adooii yaii banyak juga yang perlu dilakukan. Apa pun kesabaran amat penting di dalam mengerjakan kebun. Itu tidak termasuk cakap – cakap orang yang boleh meruntuhkan terus sisa – sisa semangat yang masih ada. Apa pun sebagai seorang Muslim, aku hanya bergantung kepada Allah Taala selepas segala usaha dilakukan. Tidak sesekali aku menyesal dan mengeluh dengan pilihan yang telah dibuat. Usaha akan kuteruskan sehingga lah kejayaan yang ku gapai nanti, InsyaAllah.
 AdamSafiq
Semangat makin membara selepas melihat apa yang dipelajari berjaya dipraktikkan. Itu belum lagi mendapat hasilnya. Bagi tanaman pisang, ini merupakan kali yang ke –2 aku mengusahakannya. Kali pertama dulu tak banyak, dalam 2 ekar sahaja. InsyaAllah , kali ini dalam 6 ekar pula.
Kalau ikutkan semangat menulis, banyak yang ingin diperkatakan di blog ini. Banyak “tesit” yang masih tersimpan di dalam kepala hotak aku ni yang masih belum keluar. Ia merangkumi segala aspek kehidupan, cuma masa belum sesuai agaknya. InsyaAllah pada satu hari nanti, semua itu akan tertulis juga di blog ini. Wassalam.

pisangkubeng  bukitkubeng

Wednesday, December 8, 2010

Berbudi Kepada Tanah

Salam Sejahtera.
Jika berbudi kepada tanah, InsyaAllah akan dapat hasilnya. Andai dilengkapi dengan ilmu yang betul, maka berlipat lagi lah hasil yang diperolehi. Saya pada asalnya sangat berminat dengan tanaman kelapa sawit. Kenapa? Tanaman komoditi ini bagi saya lebih menguntungkan daripada tanaman kontan yang lain seperti getah. Saya  tidak menidakkan akan peranan tanaman getah dan sumbangannya kepada diri, keluarga dan negara. Sedari umur 6 tahun, saya telah mengenali pokok getah. Sehingga lah saya tamat diploma yang pertama, saya masih setia dengan pokok getah. Saya pernah merasai zaman di mana harga getah cuma RM 1.20 sahaja satu kilogram. Itupun getah keping, getah buku cuma 45 hingga 55 sen sahaja pada tahun-tahun 80 an dan 90an.  Jadi pengalaman lebih 20 tahun dengan getah membuatkan saya berminat untuk beralih arah kepada kelapa sawit.
Minat untuk mengusahakan kelapa sawit terbit sedari lepas tamat diploma pertama  lagi. Namun, apakan daya, keterbatasan ilmu dan sumber kewangan membantutkan impian yang telah wujud sekian lama. Pada masa itu pada tahun 1998. Alhamdulillah sepuluh tahun kemudian, saya telah mengambil langkah pertama ke arah menghijaukan lagi bumi ini dengan memilih untuk menyambung pengajian di bidang pertanian secara sambilan di salah sebuah universiti. Bidang utamanya ialah pengurusan ladang pengkhususan kepada kelapa sawit. Dan pada tahun 2010, saya telah mengorak langkah dengan mempraktikan apa yang telah dipelajari itu di kebun milik keluarga. Terdapat rasa kepuasan kerana mendapat apa yang diimpikan selama ini. Tingggal lagi penjagaan yang sempurna supaya hasil yang diperolehi berbaloi dengan modal yang telah dikeluarkan. InsyaAllah dari semasa ke semasa saya akan memberikan perbandingan di antara tanaman getah dan swit daripada semua segi. Sehingga itu, selamat membaca dan jumpa lagi.
mkg1 (41)
mkg1 (44)
mkg1 (46)

Monday, December 6, 2010

Salam Kesinambungan




Salam Sejahtera

Lama benar teman tidak mengemaskini blog ni, al-maklum.. sentiasa sibuk..alasan yang sentiasa releven! (untuk aku sahaja). Alhamdulillah.. Syukur yang tidak terhingga kepada Allah Taala kerana dalam tempoh diam menyepi (yang sangat lama) tanpa sebarang berita ini sebenarnya ada projek "baaaeeeeeeeeeek" punya.Iya lah sudah belajar sesuatu ilmu, wajarlah dipraktikkan supaya mendapat manfaatnya. Sebenarnya setahun yang lalu, pada November 2009, teman telah berjaya menamatkan pengajian diploma dalam bidang pertanian, pengkhususan kepada kelapa sawit. La ni duk sambung lagi dalam bidang bisnes pulak.

Selepas tamat pengajian, teman terus plan untuk merealisasikan apa yang teman telah belajar di unibersiti. Syukur pada Allah Taala pada sebulan dua yang lepas, teman telah berjaya mengusahakan 6 ekar tanah dengan tanaman sawit. Pelbagai cabaran, dugaan dan ujian yang ditempuhi sepanjang mengusahakan projek tersebut sehingga kepada peringkat menanam.

Dengan kekuatan dan kemudahan yang diberikan oleh Allah Taala, Alhamdulillah, sekarang projek ini memasuki fasa kedua, dimana penjagaan rapi sehingga ke tempoh membuahkan hasil.

Di samping kelapa sawit, teman juga memberikan tumpuan khusus kepada tanaman pisang. Termasuk semua jenis pisang. Bagi sesiapa yang mempunyai benih pisang yang agak luar biasa, mohon hubungi teman sebab teman memang suka mengumpul spesis pisang yang terdapat di Malaysia ini khususnya dan dunia amnya (kalau ada ler).

Rasanya ini adalah masa yang tepat untuk teman memunculkan diri semula sesuai dengan semangat hijrah yang berkobar kobar ini. Semoga coretan teman di blog ini dapat memberikan manfaat kepada mereka yang berminat.

Salam Maal Hijrah 1432..Semoga diberkati umur, dipermudah dan diberkati rezeki serta mendapat keredhaan Allah Taala. Amin.